Redha Allah ku Damba  

Posted by John alFarouq


" Min 'alarnatin nujhi fin ni-hayaty ar rujuu ilallahi fi bidaayati"

"Salah satu tanda kejayaan di akhir perjalanan adalah kembali
kepada Allah di awal perjalanan"

-Ibnu Athaillah-

Bagi seseorang mencari keredhaan Allah, terdapat permulaan atau bidayah dan terdapat juga akhiran atau nihayah. Permulaan bagi seseorang yang mencari keredhaan Allah adalah langkahnya menjalani kehidupan dan pengakhirannya adalah ketibaanya di hadapan Allah. Apabila sejak dari awal langkahnya memulakan perjalanan, orang itu sudah benar-benar kembali kepada Allah, berjalan menuju Allah dengan sepenuhnya, maka peluang kejayaannya untuk sampai kepada keredhaan Allah sangat besar. Ini adalah kerana Allah pasti menolongnya sejak dari pertama kali dia memulakan langkahnya . Allah akan menjaganya agar tidak terputus perjalanannya itu dan jatuh di pertengahan jalan.

Akan tetapi jika di awal langkahnya ia tidak kembali kepada Allah, tidak meminta pertolongan Allah, dia akan terlempar kembali ke tempat dia memulakan perjalanannya dan dia tidak akan sampai kepada Allah. Seorang ulama yang hatinya diterangi cahaya Allah mengatkan, " Sesiapa yang menjangka dirinya dapat sampai kepada Allah dengan penghantar selain daripada Allah, maka Allah memutuskan perjalanannya. Dan barang siapa yang beribadah dengan berpegang kepada kekuatannya sendiri, maka Allah menyerahkan urusan ibadahnya kepada kekuatannya sendiri, Allah tidak akan menolongnya."

-Huraian kata-kata Ibnu Athaillah dalam novel Bumi Cinta-

Maha Suci Allah, nasihat buatku sahabat-sahabat. Ku rasakan ia terlalu penting dan mengharapkan percikannya terkena padamu. Konsepnya terlalu mudah untuk difahami, namun sukar dihayati oleh segala sendi dan hati. Iaitu, meletakkan pergantungan kepada Allah secara total kerana Dia Maha Mengetahui segala yang terbaik dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

Renungkan kembali sahabat-sahabat keputusan dan tindakan yang telah kita ambil sebelum ini. Adakah sudah meletakkan redha Allah dihadapan atau terlalu yakin dengan kepersisan analisa kita? Jika kita lupa, ayuh masih sempat membuat pusingan U. Meniatkan apa-apa pun kembali kepada Tuhan semesta alam. Kerana pasti suatu hari, kita mungkin menghadapi kesusahan dan perlu diingatkan kembali atas dasar apa jalan ini diambil. Hatta memilih warna pakaian baru yang ingin dibeli sehinggalah sebesar-besar perkara memilih pasangan hidup contohnya perlu diingatkan.

Kemudiannya, apa pun berlaku tiadalah kekesalan dihati akan timbul melainkan keredhaan kepada Allah. Dan yang pasti Allah meredhai kita. Redha, meredha dan diredha menjadi kunci untuk mencari jalan keluar. Itulah tanda kasih Allah pada hambanya. Bagaimana pula tanda kasih kita? Tepuk ke dada, tanyalah iman kita...dan biarkan mulut berbicara.



Insan yang Hina diSisi Tuhannya
Baiti Jannati
1235 28hb2 2011



Mengisi Kemenangan  

Posted by John alFarouq



Surah As-saff

[10]
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

[11]Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

[12](Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.

[13]
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.



Suka untuk mengimbau kejayaan rakyat Tunisia dan Mesir dalam menumbangkan kerajaan yang zalim baru-baru ini. Diteruskan lagi dengan kejayaan Pro-Mahasiswa menawan beberapa kampus utama yang membuktikan sebarang penindasan yang dilakukan ke atas mereka selama ini gagal melunturkan semangat-semangat mereka untuk terus berjuang.

Dalam keasyikan dan kegopohan menyekat suara-suara mahasiswa bakal pemimpin negara, pihak berkenaan gagal untuk menyedari hakikat bahawa perjuangan ummat Islam menjanjikan kemenangan yang mutlak. Buatlah apa-apa penyelewengan sekalipun untuk mengekalkan kuasa, buatlah momokan kosong untuk menakutkan pelajar dan buatlah apa sahaja namun ketahuilah semuanya akan gagal.

Jika itu hanyalah kemenangan sistem, maka hakikat sebenar kemenangan adalah terus dan terus berjuang. Di hujungnya, Allah telah menjanjikan kenikmatan syurga yang tiada tolok bandingnya bagi golongan ini. Jika kamu berjuang untuk dunia, kami berjuang untuk akhirat. Mungkin inilah hamburan perkataan ke atas muka-muka si pengadu domba.

Selain itu, walau Allah menjanjikan kemenangan yang mutlak tapi Allah juga memberi kemenangan-kemenangan yang lain termasuklah kemenangan sistem tadi sebagai satu bonus buat orang-orang beriman. Isilah kemenangan ini dengan tidak leka, dengan tidak sombong dan penuh rasa syukur. Menang dalam menunaikan solat, maka duduklah mengiati(zikr) Allah. Menang melakukan haji dan umrah, maka duduklah mengiati Allah. Menang dalam melakukan apapun kebaikan, maka duduklah mengiati Allah. Inilah cerminan Iman buat hamba-hambanya yang bersyukur.

Sahabat, ingatlah jika hari ini Allah merelakan bagi kita kemenangan yang dekat, rasakanlah bahawa kita tidak akan selesa selagi mana tidak mengecapi kemenangan yang hakiki iaitu Syurga nan abadi. Salam juang, salam sayang buat adik-beradikku di medan hadapan..





Insan yangHina Disisi Tuhannya
Baiti Jannati IM8
0105 25hb2 2011

Doa Wanita Solehah  

Posted by John alFarouq


Kisah Wanita

Di awal pagi yang hening, dari salah satu sudut bilik terdengar suara lembut sedang meminta-minta pada Tuhannya. Jika dilihat dalam suasana kelam itu, agak khusyuk ia berdoa. Selepas mendoakan ibu bapanya, keluarganya, sahabat-sahabatnya dan seluruh ummat Islam ia terhenti sejenak. Kemudian meneruskan doa dengan suara lebih lembut dan berharap.

"Ya Allah, kurniakanku seorang insan yang soleh, yang mampu membimbingku, yang baik akhlaknya, yang bisa membuatkan aku bahagia.."

Doa itulah yang selalu diulang-ulangkannya. Boleh dikatakan hampir setiap hari, walau apapun doa didepan, inilah doa penutupnya. Dan memintalah kamu akan pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat melainkan bagi mereka yang khusyuk? (Al-Baqarah : 45). Mungkin ayat ini yang menjadi sumber inspirasinya.

Kisah Pemuda

Manakala, di sebelah timur sana ada seorang pemuda yang ingin bertemu dengan titik persamaan dengan doa wanita tersebut. Namun ia masih tidak berjaya. Ia selalu tewas. Imannya selalu tergugat dan lemah. Lalu ia sendiri tidak tahu adakah kata-kata yang lahir dari hati buat wanita itu benar atau dusta....atau cuma dorongan nafsu semata.

Layakkah pemuda hina itu? Pemuda yang selalu dikejar dosa semalam..mencari seorang insan yang sudi menongkah arus masa kebelakang bersama-sama dengannya...untuk menyucikan kembali dosa silam itu. Adakah wanita itu sanggup? Apatah lagi ingin memundurkan masa? Tiada logik bukan? Akhirnya doa wanita itu terus segar...tapi cita-cita pemuda itu terus malap. Cita-cita yang sememangya telah ada buat sekian lama.

Pemuda itu selalu berkata, " Kesian teman hidupku, belum ku kenal tapi telah ada amanah yang bakal dipikulnya." Dakwah..ya dakwah. Dakwah itu terlalu panjang dan meluas. Dakwah pada keluarganya dengan memberi contoh inilah ciri-ciri keluarga Islam yang sebenar. Dakwah pada masyarakat. Memimpin saudara-maranya yang lebih menumpu pada bidang profesional dalam kehidupan. Mencari yang rela bersederhana tapi bahagia dengan kasih sayang Islam. Sebagaimana Rasulullah saw dan Siti Khadijah. Sebagaimana Fatimah azZahra dan Saidina Ali. Dan ayat ini selalu berkata-kata dibibirnya, " Aku bukan seorang ulama' tetapi aku ingin menjadi bapa kepada seorang ulama'."

Dan hari ini, pemuda itu hanya tersenyum puas dan lemah. Paling kurang ia telah berkata-kata. Tidak tahu apa yang terjadi pada hari esok kerana ia hanya ada sebentuk cincin perak.(http://kasturisyurga.blogspot.com/2010/09/tribute-buat-sahabat-sebentuk-cincin.html). Adakah wanita itu akan 'berhenti' berdoa selepas ini? Wallahua'lam....

"Dan barang siapa berserah diri pada Allah, sedang ia berbuat kebaikan,
maka sesungguhnya ia telah berpegang pada buhul(tali) yang
kukuh. Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan."
(surah Luqman:22)

Insan yang Hina diSisi Tuhannya
Baiti Jannati IM8
0841 21Feb2011
Dhuha yang Nyaman


Cintaku Bukan Hanya diBibir  

Posted by John alFarouq


Ali seorang pemuda yang nakal. Solatnya bermalasan dan puasanya jarang. Kadang-kadang mengganggu ketenteraman sahabat-sahabatnya. Ditegur, makian dihambur. Senang cerita, akhlaknya tidak berapa enak. Tetapi ia tetap pemuda melayu, Islam. Cubalah anjurkan soalan sebegini padanya..
"wahai Ali, adakah kamu kenal Nabi Muhammad saw? Adakah kamu mencintainya?"
" Err, mestilah..Dia kan Nabi kita. Mestilah aku mencintainya.."jawab Ali.
Abu pula seorang pemuda yang taat. Solatnya dijaga, puasa Isnin Khamis jarang ditinggalkannya. Berbuat baik pada sahabat-sahabat. Teguran diterima dengan senyuman. Pendek kata, akhlaknya mulia dan tutur bicara juga sopan. Cubalah anjurkan soalan sebegini padanya..
" Wahai Abu, adakah kamu kenal Nabi Muhammad saw? Adakah kamu mencintainya?"

" Alhamdulillah, sebagai ummatnya semestinya kita perlu mengenali Baginda dan saya amat mencintainya." Jawab Abu tenang.

Nah, bagaimana pula dengan kamu wahai sahabat? Jika benar sangkaanku, jawapanmu juga seperti mereka berdua bukan? Ya, benar. Mungkin itu jawapanmu. Kesimpulannya, maka kamu, Ali dan Abu adalah sama. Menyintai Rasulullah, amat menyintainya. Hingga saat ini, seperti ada yang menyanggah kesimpulanku. Dan aku hanya tersenyum..kerana semestinya ada yang mengatakan ia mungkin sama dengan Abu tetapi tidak Ali.

Lemah bibirku untuk mengatakan aku sama dengan Ali walaupun benar. Aku juga menyintai Rasulullah saw sebagaimana dirinya. Tidak ada perbezaan makna pada maksud jawapan kami. Namun ketahuilah, ia bukan sekadar lafaz. Analoginya, mungkin kamu telah mengerti dari awal lagi. Jika kamu bertanya soalan yang sama diluar sana, jawapan inilah yang kita akan terima. Tetapi kenapa masih lagi kita tidak merasa aman, hiburan semakin menjalar deras, rompakan dimana-mana, anak-anak bertali pusat di longkang-longkang. Adus, ummat siapakah ini?

Sahabat-sahabat sezaman Rasulullah juga menyintai Baginda. Andai panah ingin menembusi dada Baginda, biar dadaku menjadi dinding. Andai Rasulullah dihina, biar amarahku membakar mereka. Biar ku luka, tapi bukan Rasulullah saw. Biar ku mati tapi bukan Rasulullah saw. Begitu mendalam cinta para sahabat. Hidup mereka tenteram jiwa bersama Baginda. Tiada berbangga-bangga dengan dosa dan tiada maksiat terang-terangan.

Kini, semua suasana berlaku sebaliknya. Walau jawapan masih sama, tetapi lain pula jadinya. Kerana apa??? Kerana CINTA KAMI HANYA DIBIBIR. Sahabat, jika sebentar cuma Rasulullah datang menemui kita, jelaskanlah kembali pada Rasulullah bahawa CINTAKU BUKAN HANYA DIBIBIR tapi seluruh jiwa dan ragaku. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw dan para ahlinya. Moga kita ditemukan di syurga nanti. Amin..Amin..Amin..

Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku ini lebih dikasihi olehnya daripada anaknya, bapanya dan manusia seluruhnya.”

Riwayat Al Bukhari, Muslim, Al Nasaiy, Ibn Majah



Salam Maulidur Rasul


Insan yang Hina diSisi Tuhannya
Baiti Jannati IM8
2337 19hb2 2011