Semuanya bermula dari....  

Posted by John alFarouq

Seni kanak-kanak
-Going to Makkah-


"Bagaimana aku ingin memahami Islam sedangkan keluargaku susah. Aku tidak mendapat pendidikan yang sempurna.."

"Keluargaku melimpahkan kekayaan kepadaku. Mendalami agama tidak dapat menyenangkan aku.."

"Kita masih muda, ada masa lagi untuk memahami agama.."

"Aku ingin tahu tentang agama Islam tapi tanggungjawab terlalu banyak sehinggakan aku tiada ruang untuk itu.."

Erti Nilai

Sesuatu tidak akan bernilai tanpa seseorang itu meletakkan nilainya. Sesuatu tidak akan berharga tanpa seseorang itu meletakkan harganya. Harta yang bernilai dan berharga selalu diletakkan di tempat yang paling atas. Islam itu tinggi dan tidak ada yang tinggi lebih darinya. Adakah Islam berada di tempat yang dimaksudkan dalam hatimu ini? Cubalah berbisik pada nurani sendiri. Jika ya, ucapkan syukur. Jika tidak, rintihkan istighfar.

Terapan ilmu dan kefahaman tidak hadir sendiri. Berbahagialah siapa yang mencarinya di samping keberkatan didikan ibu bapa, doa dari nenek moyang serta hidayah Allah itu sendiri. Apabila kefahaman itu jelas, maka erti nilai pada Islam dan ilmu agama menjadi harta yang paling berharga dalam diri. Sedarlah para sahabat, kefahaman tarbiyah sedari kecil lebih nikmat dari kefahaman tarbiyah yang datang terkemudian.Walaupun terlambat untuk diri tapi tidak lambat untuk keturunanmu kelak. Didiklah mereka kerana mereka akan menjadi peneraju mukmin sejati nanti.

" Aku bukanlah seorang ulama' , namun jadikan aku ya Allah ibu/bapa kepada ulama' "



Teratak Hazmi
0040
30hb Jun

Ketika Cinta BerUsrah...  

Posted by John alFarouq


Jam 2.30 petang setelah solat Jumaat 25hb Jun, telefon bimbitku mendendangkan bunyi message. Akhi Muhsin berkata-kata dengan tulisannya.."Sa, free tak petang ni? Kita buat usrah di pantai PCB lepas asar." Satu statement yang ku nanti-nantikan sepanjang cuti semesta ini. Walaupun telah banyak kali bertemu, tanpa istilah usrah secara rasmi gagal untuk menceriakan aku secara batinnya. Usrah Ikhwan Aminin ada nostalgianya tersendiri. Gelak, serius, menangis dan seribu macam perasaan bercampur baur dalam pertemuan kecil kami ini sejak di bangku sekolah.

2010, buat pertama kali kami gagal tahun ini untuk mengumpulkan semua. Yusran jauh di timur tengah, sebahagiannya pula sedang menjalani latihan industri. Namun, dengan langkah keriangan, aku turun ke Kota Bharu untuk berkumpul bersama-sama Muhsin, Khairul, najman, Shafiq, Husaini dan Farhan. Tempat liqo' kami adalah PCB. Tidak ku sangka Jumaat membuatkan pantai sesak dengan manusia. Agaknya inilah tempat santai untuk keluarga pada hujung minggu.

Lafaz Bismillah dimulakan muhsin dan kami bersama-sama membaca al-Fatihah. Sambil terbayang-bayang wajah adik-beradik yang lain Razak, Aziz, Hazmi, Hakimi dan mereka yang tidak dapat hadir. Aku tersentuh dengan dua,tiga perkara yang dibangkitkan petang itu.
  • Pertama : Permohonan orang bukan Islam untuk menjadi peguam syariah
  • Kedua : Bersangka baik
Test case for non-Muslim lawyer in Syariah court
(thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/5/15/courts)

Husaini yang mengambil bidang undang-undang memberi sedikit huraian kepada kami yang kurang mengerti. Untuk menjadi peguam syarie memerlukan dua syarat. 1- Muslim 2 - Mana-mana induvidu yang mempunyai kelulusan bidang tersebut dari mana-mana Institusi yang diiktiraf. Untuk syarat yang pertama, sememangnya ia tidak boleh dipertikai. Namun, untuk syarat yang yang kedua, perkataan 'mana-mana individu' membolehkan Victoria,yang mempunyai kelulusan Diploma in Syariah Law and Practice dari Universiti Islam Antarabangsa dan Ijazah Undang-undang University of London membawa kes ini ke mahkamah agar ia diiktiraf sebagai peguam syarie oleh majlis agama.

Di sini, diriku cuba mengajak sahabat-sahabat memikirkan sejenak mengapa perkara ini boleh berlaku. Adakah ummat Islam ketandusan peguam syarie yang layak memegang jawatan. Ataupun ketipisan undang-undang Islam negara ini yang memungkinkan ia dipertikai. Atau kesedaran masyarakat yang tidak sensitif terhadap kes-kes terdahulu contohnya kes Lina Joy. Isu-isu sebegini mungkin bagaikan air yang mengalir, datang dan pergi. Namun, dari sudut lain berapa peratuskah kefahaman ummat Islam terhadap Islam itu sendiri.

Isu santai yang dibangkitkan akhi Khairul Arifin adalah berbaik sangka. Kehidupan kita yang banyak berprasangka akan memakan diri. Diam zikir dikata sombong..itu yang selalu berlaku. Sebaliknya, kita juga jangan menjatuhkan diri agar orang berprasangka kepada kita. Sungguh indah Islam mengajar kita.

Ada hadith (dalam sahih Tirmizi) menerangkan : Bahawa apabila kamu berhadath (mengeluarkan angin) dalam sembahyang, maka pegangilah hidung kamu sebelum berpaling (untuk mengambil wudu' lain) supaya jangan dikatakan orang bahawa kamu berhadath (dan mungkin orang itu menyangka kamu berdarah hidung). Semua ini menjadi bukti bahawa seorang dikehendaki menjauhi diri dari perkara yang syubhat yang kesamaran hukumnya, dan perkara yang mendatangkan sangkaan atau tuduhan yang buruk dari orang lain. (rujuk hadith ke-6 Imam Nawawi).

Dalam ucapan ayat novel, kata-kata Khairul yang menghiburkan kami ada kaitannya dengan hadith tersebut. "Kherul, senyum mu bermakna." Perjumpaan tertangguh dengan solat maghrib di Masjid al-munir kemudian sedikit pengisian dengan bacaan hadith ke-6 itu. Moga-moga usrah ini kekal hingga ke syurga hendaknya.

Wahai teman-temanku Ikhwanul Aminin, aku mencintai kalian kerana Allah.

Insan Hina diSisi Tuhannya
Dewan Zulkifli Muhamad
28Jun 2010
1450

Lambaian Gaza  

Posted by John alFarouq


Melihat Ust Noraazman di kaca TV mengepalai rakyat Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, diriku mengimbau kenangan siri tazkirahnya di Petaling Jaya. Halus dan bersahaja dalam ucapan, namun tetap membekas pada siapa yang mendengarnya.

" Sayang pada maksiat.."

Itulah antara ayat yang tidak dapat aku lupakan. Kita sayang dan rugi jika tidak meninggalkan perkara yang mendorong kepada maksiat. Sebagai contoh, kita sayang jika meninggalkan perkataan-perkataan yang 'menceritakan' tentang si polan, kita sayang jika meninggalkan 'pandangan' mata yang melihat dan kita sayang meninggalkan suara-suara fitnah. Muhasabah itu perlu ada. Di manakah
level kita sebenarnya???

Manusia boleh dibahagikan kepada beberapa tahap;

  • orang yg menggelumang dengan dosa
  • orang baik (tapi tidak tahu apa-apa)
  • orang baik tapi sayang pada maksiat(tidak istiqomah)
  • orang baik dan istiqomah
  • orang yang berjihad
Massa kini hangat membicarakan tentang tunjuk perasaan mengecam tindakan Yahudi Zionis menyerang kapal Mavi Marmara. Begitu juga rakyat Malaysia sehingga menenggelamkan isu-isu besar negara (e.g subsidi, APCO mungkin,telaga minyak dsb). Semangat membara,waja dan berani -itu yang dapat ku simpulkan. Aku bertanya kepada seorang sahabat ketika pulang solat Isyak, jika kita keluar masjid ini dan seseorang datang menjemput kita berjihad serta-merta ke Palestin adakah kamu sanggup.SANGGUP katanya. Aku tidak tahu adakah ia sekadar retorik atau benar bersama-sama semangat jihad.

Bersama kita renungkan, dimanakah tahap kita sebenarnya? Adakah sekadar melaungkan anti-yahudi tapi tidak membawa apa-apa makna. Namun, usaha ini harus diteruskan walau siapa pun kita.
Level kita harus ditingkatkan, dari insan yang pernah melakukan maksiat menjadi insan yang bersih hatinya dan yakin untuk syahid.

Cuma, lambaian Gaza itu masih mengintai-ngintai di celah-celah tembok pada insan yang hatinya subur dengan semangat jihad dan rindu bertemu Allah. Justeru, semailah semangat ini pada jiwa generasi baru kita agar merasa bumi palestin itu bumi Ummat Islam. Akhirnya, lambaian mereka dapat kita sambut dengan pemecahan tembok penjara terbesar. Kerana apa?

Kerana apabila kerinduan syurga itu menghamburkan merbak kasturi...dan aku merindui syahid.

Insan Hina Disisi Tuhannya
-Machang-