Coretan Hati=)  

Posted by John alFarouq


Bismillah.... Allah jualah sebaik-baik tempat bergantung dan tempat berlindung. Moga redhaNya bersama-sama dengan kita semua....

Allah befirman di dalam surah al-Imran:159-160



"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."


"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri. "

Rasulullah SAW Suri Tauladan

Mengimbau akhlak Rasulullah saw, seakan-akan kita terasa nyaman dan damai. Cuba bayangkan anda berdiri di sebelah insan yang anda tahu tentang kebaikan akhlaknya, santun peribadinya, selalu tersenyum, pemaaf dan lemah lembut, tentu hati anda akan berasa tenteram. Malah berasa senang berada di sampingnya kan?

Di alam remaja, Baginda saw digelar Al-Amin. Sewaktu khabilah arab pada masa itu yang penuh kejahilan dan penyelewengan akhlak, Baginda saw digelar dengan sebaik-baik gelaran. Kerana sifat yang mulia inilah, Baginda saw dipandang mulia sebelum kedatangan Islam sehinggalah saat Islam bertapak di Madinah dan seterusnya. Begitu ramai ummat manusia memeluk Islam hanya kerana dengan akhlak mulia Baginda saw.


Sejujurnya, sifatku amat berbeda dengan Baginda saw. Inilah intipati dakwah abad ini yang perlu dituruti. Dakwah Baginda telahpun bermula sebelum penyeruan Islam. Dakwah dengan keperibadian. Ya, dakwah dengan keperibadian! Tidak ramai yang beramal dengan akhlak Islam semudah menuturkannya. Maka, terjadilah dakwah yang terlompat-lompat meninggalkan ruang kosong tanpa pengisian. Bermulalah langkah demi langkah, penghayatan demi penghayatan. Ada sahabat Baginda saw tidak menghafaz ayat yang baru dturunkan sehingga ia beramal dengan ayat yang sebelumnya. Terkesima kan?

Dakwah Baginda saw tidak semudah yang kita bayangkan. Benar, Allah telah menjanjikan kemenangan buat Islam, namun kemenangan itu tidak datang bergolek. Banyak cabaran perlu ditempuh dan kita seharusnya berusaha sebagaimana Baginda saw. Apabila kita yakin perjuangan kita benar, jalan kita benar, usaha kita benar, di titik ini Allah mengajar kita bertawakkal kepadaNya. Allah jua menjanjikan kasih sayangNya buat golongan berserah diri. Maka, letak ke tepi segala keraguan itu dan rebut cinta PenciptaMu.

Nasihat Dari Hati

Ku coret kisah ini dari hati, biar hati tercoret sama dengan kisah Baginda saw. Alangkah indah ujian diserta keredhaan dan keikhlasan kan? Seorang insan meninggalkan pesan buatku dengan lantunan kalam Tuhan,

Surah Fussilat:34-35 Allah berfirman:


"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. "

"Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. "

Moga-moga ia dan sahabat-sahabat mendoakan daku mempunyai keperibadian seindah Baginda saw. Aku juga mahu mendoakan kalian dan kita semua. Berkasih-sayang tidak boleh dibuat-buat, namun apa salah dibuat-buat dahulu sehingga kasih sayang yang luhur itu hadir beserta keredhaan dari Allah..


Maafkan daku
Insan Yang Mengharap Keampunan Ilahi
30hb12 2011

John al-Farouq




This entry was posted on Friday, December 30, 2011 at 4:08 AM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment