MenJelang daN SeLepas Raya  

Posted by John alFarouq

Salam Lebaran buat sahabat-sahabat seperjuangan. Ampun dan maaf dipinta andai diri ini pernah menyinggung perasaan kamu semua sama ada dengan sengaja ataupun tidak. Pernah kucuba menahan bulan Ramadhan supaya tidak pergi meninggalkan aku. Pegangan tanganku dengannya terlerai apabila seseorang berkata kepadaku, kita tidak boleh mengubah sunnatullah melainkan berdoa mengikut syaria'tullah. Subhanallah, tersentak dari tidur aku dibuatnya. Maka aku cuba mengisi hari-hari terakhir Ramadhan dengan sesuatu. Usrah Ikhwanul Aminin! Itu yang belum tertunai lagi saat itu. Sedikit perancangan diatur bersama sahabat untuk berusrah di qariah Ramadhan yang telah sebulan berkampung di perkarangan stadium Sultan Muhammad ke-4. Alunan suara Sheikh Ramadhan dan Sheikh Rejab mendamaikanku. Tazkirah Ustaz Saibon sedikit kepedasan menyegarkanku. Semua itu hanya dapat kurasakan kelainan apabila bertaraweh di bumi kelantan.

Malam itu, seusai solat, bermula sekali lagi usrah kami. Tidak ramai yang hadir, namun kepenatan Shafiq yang tetap datang ke usrah walaupun baru tiba di Kota Bharu selepas berbelas jam bertolak dari Bangi memberi kami senyuman yang puas. Malam itu kami membawa dua usul untuk dibincangkan. Pertama, aku menimbulkan persoalan bahawa ahli usrah kami telah berubah. Ukhuwwah kami kini hanya bertaut hanya pada tali yang terakhir iaitu tali akidah yang sama. Adakah kamu redha dengan perkara itu? Persoalan yang ku ajukan pada setiap yg hadir. Ada yang mengatakan redha, ada yang mengatakan sebaliknya bersama hujah yang bernas. Aku tersenyum. Apabila meningkat dewasa, beginilah jadinya. Tambahan pula setiap orang mempunyai negara sendiri di kampus masing-masing yang perlu ditadbir. Usul kedua Farhan mengetengahkan masalah adik-adik di peringkat sekolah. Setelah lama meninggalkan halaman Ma'ahad Muhammadi, namun cerita-cerita masih sampai ke telinga. Sebagai, sesuatu perlu dilakukan apabila turun ke sekolah nanti.




Apabila menjelang raya. Hatiku merimbun sayu. Ramadhan pergi, Lailatul Qadr pergi. Di hujung bibir masih ada sedikit senyuman kecil menyambut kemenangan diri. Cuti pun berlalu, tiada lagi tidur lena dan nyaman selepas pulang ke kuantan. Gambaran bebanan kerap terbayang di fikiran. Sesuatu yang tidak elok dilayan. Apa yang perlu ialah menulis penyelesaian di helaian kertas dan melaksanakan. Tiada lagi teman-teman IA disisi untuk berkongsi cerita dan masalah. Lalu Allah menegurku dengan sebuah pesanan ringkas dari seorang sahabat mengenai kata-kata as-Syahid Syed Qutb,

"Sesiapa yang mencintai Allah pasti semakin sunyi dengan manusia. Di tengah keramaian dia rasa keseorangan. Saat kesukaan dia berduka..jika orang tertawa dia menangis. Jasadnya dengan manusia batinnya dengan Allah. Ketenangan dan kebahagiaan adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam lubuk hati orang beriman, meraka akan tetap berhati teguh, dikala insan lain mengalami kegoncangan."


Subhanallah..Indah sugguh ucapan beliau hingga bisa menggoncang para hati yang kebebasan, sedangkannya di sebalik jeriji besi. Seorang teman pernah mencabar dalam usrah, adakah kamu pendokong agama atau sekadar suka bepersatuan. Mencari insan yang gah di siang tapi zuhud di malam hari amat sukar. Dalam usaha carian itu, yang bongkak dan sombong itulah yang ku jumpa. Akan tetapi, kepercayaan ku jelas..dalam keributan itu pasti ada sekumpulan pemuda seperti pemuda al-kahfi. Jangan ditanya berapa ramai bilangan mereka, dua puluh, atau tiga puluh tetapi telitilah pergerakan meraka yang bersikap keras pada musuh tapi lembut pada saudara seperjuangan. Moga-moga tarbiyah Ramadhan berkekalan hingga ke Syawal membawa ke sepanjang zaman. Ameen


Insan yang hina diSisi Tuhannya
24hb September
Baiti Jannati
0106

This entry was posted on Tuesday, September 21, 2010 at 3:02 AM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment