UsraH Itu Keluarga?  

Posted by John alFarouq



Bismillah..Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga Baginda dan para sahabatnya.

Setiap manusia mempunyai kecerunan dalam sesuatu hal berdasarkan minat hatinya. Minat ini boleh dipupuk ataupun bersifat semulajadi. Sesetengah meminati seni muzik, maka ia akan berterusan mendengar alunan muzik. Sesetengah meminati seni masakan, maka ia akan berterusan memasak. Minat kepada sesuatu bersifat subjektif. Maka, meminati usrah juga boleh dikira sebagai salah satu cabang kecerunan seseorang biarpun tidak terlalu jelas (obvious) berbanding contoh minat tadi.

Dalam gerakan dakwah, usrah merupakan tunjang utama yang digariskan sebagai satu elemen penting. Setiap ahli diwajibkan untuk mengikutinya. Namun, tidak semua ahli dakwah tersebut mempunyai kecerunan minat terhadap usrah kerana mempunyai latar belakang yang berbeza-beza.

Pertembungan

Di sini, berlakunya sedikit pertembungan di antara minat dan kepentingan usrah. Kerana kurangnya minat maka gerak kerja tersebut berlaku secara tidak konsisten. Sedangkan dakwah dan isinya merupakan sesuatu yang tidak statik dan terus berjalan. Ketidakseimbangan ini membawa kepada kekukuhan organisasi dakwah semakin rapuh.


Mendefinasi Kembali

Sahabat, ayuh kita mendefinasi kembali makna usrah itu. Usrah merupakan ikatan persefahaman atau perpaduan sesama ahlinya ke arah keharmonian agama dalam keadaan penuh mahabbah. Imam Hassan Al-Banna menggariskan tiga Rukun Usrah iaitu Ta'aruf, Tafahhum dan Takafful. Bagaimana ingin mengenal jika jarang bertemu. Pertemuan merupakan kunci ta'aruf. Bagaimana ingin tahu persefahaman jika tiada perbezaan. Rancakkan perbincangan ilmiah agar bertemu titik persamaan. Jika mantap keduanya maka apabila jarang bertemu ia akan menambah rindu, kurang perkongsian terasa serba kekurangan. Dengan itu, timbullah rasa tanggungjawab terhadap saudaramu. Saling melengkapkan terhadap diri masing-masing akan cuba dibina agar pertemuan, perbincangan dan perkongsian itu terjalin semula. Adakah dirimu merasai perasaan sesubur itu?

Membina Ukhuwwah

Sistem usrah membina ukhuwwah yang mantap jika sistemnya disusuri dengan nurani. Dari hal luaran sehingga dalaman mampu dikongsikan. Kesulitan didengari dan diteliti untuk diselesaikan. Ini akan menambah kepercayaan sesama ahli usrah. Tambahan pula, hati dan jiwa telah ditautkan dengan 'aqidah yang sama. Ketahuilah, ukhuwwah ini adalah anugerah dari Allah. Dalam Surah Al-Anfal:62-63 Allah menyebut
"...Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan(sokongan) orang-orang yang beriman. Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara(hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Ketinggian nilai ukhuwwah inilah yang menjadi ketakutan musuh-musuh Islam kerana mereka terlalu mendambakan untuk melihat perpecahan demi perpecahan berlaku di antara kita. Allah telah mengiatkan kita dalam firmanNya..
"Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan..."
Benarlah kata-kata Imam Al-Banna kepada Ikhwan;
" Berkasih-sayanglah antara kamu sama lain, berusahalah ke arah ikatan sesama kamu. Ia adalah rahsia kekuatanmu dan tonggak kejayaan kamu. Thabatlah kamu sehingga Allah membuka pintu hati antara kamu terhadap agama yang hak, sesungguhnya Allah Maha Pembuka"
Sahabat, benarkah usrah itu keluarga? Jawapanku..Ya, Benar!! Kerana kita berkasih sayang didalamnya.


Wassalam.

Insan Yang Hina diSisi TuhanNya
Baiti Jannati
6 Jan 2011 oo:o4





This entry was posted on Tuesday, January 4, 2011 at 10:49 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment